
MERDEKA HIKE – PENGAKAP LABUAN MELENGKAPKAN CABARAN MENDAKI BUKIT MARAGANG, MESILAU KUNDASANG
Pada 22 Ogos 2020 yang lalu, diketuai oleh Skip Angela Joseph bersama 11 orang ahli Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan terdiri daripada 5 orang Pemimpin, 3 ahli unit Pengakap Kanak-Kanak, 2 ahli unit Pengakap Muda dan seorang ahli Unit Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana masing-masing telah berjaya menawan Bukit Maragang yang terletak di kampung Mesilou, Kundasang .
Maragang dalam Bahasa Dusun bermaksud “Merah”. Merah disini merujuk kepada spesis lotong yang berbulu warna merah atau nama saintifiknya Presbytis rubicunda yang merupakan haiwan endemik Borneo. Bukit ini diberi nama Maragang oleh penduduk tempatan yang berbangsa Dusun kerana bukit ini menjadi laluan bagi kumpulan lotong yang semakin sukar ditemui kini . Trek bukit Maragang dibuka kepada umum pada 16 september 2017 oleh komuniti setempat di situ dan diuruskan oleh Mevoc (Mesilou Volunteer Club) . Bukit Maragang yang berketinggian 2232M dari aras laut ialah bukit tertinggi di Asia Tenggara kerana terletak di banjaran Gunung Kinabalu yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.
Pendaftaran di Pejabat Mevoc mematuhi SOP dengan semua peserta diwajibkan merekodkan bacaan suu badan dan mengisi borang deklarasi kesihatan . diikuti taklimat keselamatan oleh ketua pemandu arah En. Guhadi Lasim , beliau sentiasa mengingatkan pendaki agar menjaga sentiasa mementingkan keselamatan diri, mematuhi SOP dan menjaga penjarakkan fizikal antara pendaki lain yang mungkin bertembung sewaktu mendaki nanti. Pendakian ini turut diiringi oleh pemandu arah bertauliah Encik Mohd Azmil Ismail dan Puan Nurhidayah Abdullah. Lanskap muka bumi yang berceragah, serta bentuk pokok yang unik ditambah kabus yang sekali-sekala muncul umpama kami mendaki di laluan ajaib. Kerana altitud bukit ini , pendakian ke puncak menjadi semakin sukar . Namun apabila tiba di puncak bukit, segala keletihan dilupakan takala menikmati pemandangan berlatar belakang Gunung Kinabalu yang gah dan suhu persekitaran yang sejuk menjadikan pendakian ini sangat berbaloi.
Perjalanan turun mengambil masa lebih singkat dan semua peserta berjaya menamatkan cabaran Merdeka hike 2020 (1st Malaysia Scouts Virtual Hike) yang dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang pada jam 1130 pagi.