Scout Open Days 2019
Persekutuan Pengakap Malaysia WP Labuan telah menganjurkan Scout Open Day (SOD) pada 4 Ogos 2019 yang lalu . Program tersebut telah diadakan di Desa Tunas Hijau, Kg Sungai Miri, WP Labuan bermula dari pukul 6.30 pagi hingga 5 petang.
Objektif utama program ini adalah untuk membantu menambah dana pengakap di samping program ini juga merupakan titik tolak dalam melahirkan ahli pengakap yang berupaya berdikari, mampu merancang dan seterusnya dapat mengaplikasikan kemahiran dalam menguruskan kehidupan seharian dalam keadaan yang lebih sihat dan menyeronokkan.
Selain itu, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim dan kerjasama di antara semua pihak terutamanya ahli Pengakap, pemimpin pelbagai aras, ibu bapa dan keluarga serta masyarakat setempat dan ini adalah selaras dengan tema program iaitu Perpaduan melalui Kepengkapan. (Unity Through Scouting).
Tetamu Vip yang hadir pada program tersebut ialah YH Dato Sri Mohd Alias Bin Abdul Rahman, YDP Majlis Pengakap Negeri W.P Labuan dan Dato Hj.Harris Anuar Tan Timbalan YDP Majlis Pengakap Negeri. Dalam ucapan perasmiannya,Dato Sri Mohd Alias mengucapkan tahniah kepada semua AJK program SOD ini kerana berjaya menganjurkan porgram yang besar seperti ini dan diharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.YDP juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat alam penganjuran program ini.
Pelbagai acara peringkat umur telah diatur sepanjang program tersebut iaitu acara Scout Unity Fun Run (SUFR) sebagai acara utama dengan penyertaan seramai 468 orang di dalam dan di luar negara iaitu dari Brunei dan Filipina. Disamping itu juga acara-acara menarik lain seperti Scout Treasure Hunt,mewarna untuk kanak-kanak, zumba dan pelbagai acara lain. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pameran pengakap yang terdiri daripada pengakap Umum, Laut dan Udara. Gerai dan makanan juga disediakan untuk pengunjung dengan pembelian menggunakan kupon yang telah dijual. Program dimulakan seawal jam 6 pagi dan berakhir pada jam 5 petang.
Program ini juga merupakan pertama kali dianjurkan oleh Pengakap Negeri W.P Labuan dengan melibatkan peniaga-peniaga,sekolah-sekolah dan seterusnya komuniti tempatan. Program ini sangat meriah dan mendapat sambutan daripada pelbagai pihak.