PERKHEMAHAN ALAM SEKITAR KALI KE - 5 2016 -Lestarikan sumber hutan
Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) buat kali ke-5 mengadakan Program Perkhemahan Alam Sekitar sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Hari Menanam Pokok PPNBD di kawasan Projek Penanaman Pokok PPNBD, Km 12, Kampung Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat.
Program selama tiga hari bermula 30 Mei lepas merupakan salah satu usaha untuk melestarikan sumber hutan serta penghijauan alam sekitar untuk warisan generasi akan datang selain untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya generasi muda agar mereka menjadi pewaris masa hadapan yang berwawasan, bertanggungjawab dan prihatin akan kepentingan mengurus dan memelihara sumber hutan secara lestari untuk faedah sejagat bagi masa kini dan akan datang.
Pelancaran Perkhemahan Alam Sekitar tersebut dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.
Pengiran Suhaimi semasa berucap pada majlis tersebut antara lain menghargai inisiatif yang telah dijalankan oleh PPNBD dalam mendukung pelaksanaan program mengenai pemeliharaan secara berterusan ekosistem sumber hutan serta penghijauan alam sekitar yang sedang dilaksanakan melalui penjagaan tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok tertentu di negara ini yang masih mempunyai kira-kira 75 peratus ‘landscape’ nya dipenuhi dengan hutan hijau dengan diliputi flora dan fauna yang berfungsi menjadikan satu ekosistem yang sempurna membekalkan udara segar dan air yang bersih.
“Ia dapat menjadi nilai tambah yang sangat berguna dalam pembelajaran di luar bilik darjah kepada peserta perkhemahan,” ujar beliau.
Jelasnya, program yang diungkayahkan ini sangat bertepatan dan selaras dengan hasrat Jabatan Pendidikan Kokurikulum yang sentiasa menyemai nilai-nilai pendidikan dalam gerak kerja kokurikulum khususnya dalam kalangan para penuntut bagi mencapai beberapa matlamat penting yang telah digariskan antaranya bagi menyemai perasaan muhibah, perpaduan dan integrasi dalam kalangan generasi muda; peningkatan disiplin penuntut; pengalaman yang menyeluruh dan keseimbangan dengan pendidikan formal; menanam, memupuk dan memberi latihan awal dari aspek kepimpinan, sahsiah dan kemasyarakatan dalam kalangan penuntut dan perimbangan antara perkembangan intelek (akademik) dengan perkembangan jasmani, rohani dan emosi.
Tambahnya, ini dapat meningkatkan imej PPNBD yang sentiasa prihatin dalam mengekalkan usaha penanaman dan penjagaan yang berterusan dan bersistem melalui kaedah ‘Tanam - Pelihara - Pantau - Tanam’ dalam sama-sama mendukung dan membarigakan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pemeliharaan secara penghijauan di negara ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Kokurikulum termasuk Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali selain 200 ahli pengakap terdiri yang daripada Bahagian Pengakap Tunas, Bahagian Pengakap Muda, Bahagian Pengakap Remaja dan Bahagian Pengakap Kelana dari seluruh negara.
Perkhemahan Alam Sekitar mula diperkenalkan pada tahun 2008 adalah sebagai menyuntik sikap dan semangat kesedaran mengenai dengan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan ahli-ahli pengakap.
Perkhemahan pada kali ini adalah kesinambungan perkhemahan yang lalu iaitu bagi meningkatkan kesedaran kepada ahli pengakap mengenai kepentingan alam sekitar selain sebagai salah satu Inisiatif Program Perutusan Kedamaian (Messenger of Peace Initiative) dengan pengisian program Hari Menanam Pokok PPNBD yang telah dilancarkan pada tahun 2014.
Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di sepanjang perkhemahan tersebut adalah mengenali pokok-pokok yang telah ditanam, membersihkan kawasan serta membaja, aktiviti bersama pokok, pengembaraan (hiking) mesra hutan, di samping menanam sebanyak 350 pohon anak-anak pokok jenis Tulung-tulung yang telah dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan.