Rumah Terbuka 9M4SJN
Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Sembilan (PPMNS) telah menganjurkan Rumah Terbuka sempena Jambori on The Air Sedunia kali ke-59. Rumah terbuka ini telah berlangsung di Kem Pengakap Bukit, Putus dan dihadiri oleh seramai 1800 orang peserta bukan hanya dari Pengakap tetapi badan-badan beruniform lain seperti Kadet Polis, Pandu Puteri, St. John Ambulance, Bulan Sabit Merah dari sekolah-sekolah seluruh Negeri Sembilan.
Atas jemputan PPMNS, pihak Kelab Radio Amator Negeri Sembilan (NESRAC) telah dijemput untuk bersama membantu menjayakan Rumah Terbuka PPMNS ini. Walaupun agak sesak dengan jumlah peserta yang begitu ramai, namun program berlangsung dengan jayanya. Program satu hari ni telah memberi peluang kepada peserta untuk menggunakan radio High Frequency (HF) dan Very High Frequency (VHF) untuk berkomunikasi dengan stesen JOTA di dalam dan luar negara. Selain itu, peserta juga diberi pengetahuan tentang Semaphore, Kod Morse dan Phonetics untuk membuka minat mereka dalam hobi radio amator.