MoP di Terengganu. Alele~~
Malaysia

MoP di Terengganu. Alele~~

Bermula 6 April 2017 sehingga 9 April 2017, seramai 65 orang ahli Pengakap Malaysia telah menyertai Kursus Koordinator MOP di UNISZA Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu. Bagi pengakap kelana dari Daerah UIAM Kuantan Negeri KLKM seramai dua orang ahli telah mewakili daerah UIAM Kuantan. Sepanjang program yang telah berlangsung selama dua hari, pelbagai ilmu yang telah dipelajari oleh peserta kursus di antaranya cara membuka akaun di laman web rasmi WOSM. Peserta juga telah didedahkan dengan cara memuat naik laporan bagi aktiviti pengakap yang telah dijalankan. Sepanjang kursus dijalankan, kursus ini diketuai oleh Tuan Amir Hamzah Bin Aman iaitu Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara selaku Koordinator Messenger of Peace. Pada hari pertama, pendaftaran peserta bermula jam 10.00 pagi di Kolej Kediaman UNiSZA. Para peserta telah diberikan bilik penginapan masing-masing yang sangat selesa. Pada sebelah petang, slot pertama iaitu Slot Suai Kenal telah dijalankan. Selepas itu, kursus diteruskan dengan Slot Pengenalan kepada MOP iaitu slot yang memberi pendedahan asas, sejarah dan konsep MOP kepada para peserta. Pada mulanya, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan harus membentangkan perkara yang mereka tahu tentang MOP. Selepas sesi pembentangan setiap kumpulan selesai, Tuan Amir Hamzah telah menerangkan kepada para peserta tentang MOP, sejarah, dan apakah MOP itu sebenarnya. Pada sebelah malamnya, para peserta diajar cara membuka akaun di scout.org dan cara menggunakannya. Para peserta juga dimaklumkan untuk menyertai Kumpulan Facebook MoP untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita dan idea di dalamnya. Keesokan pagi, semua peserta dimaklumkan tentang Pengurusan MoP di peringkat kumpulan daerah dan cara untuk mengira jam perkhidmatan. Kami diberitahu apakah bezanya pengiraan jam perkhidmatan antara peserta program dan pengarah program itu sendiri. Pada sebelah petang, setiap kumpulan dikehendaki berbincang bersama ahli-ahli mengenai projek-projek yang sesuai dan cara melaksanakannya. Selesai sesi perbincangan, semua kumpulan membentangkannya dan berkongsi idea dan pendapat mengenai projek-projek bagi ahli kumpulan lain. WSEP dan SWA di dalam MOP juga turut diterangkan. Hari ketiga, dimulakan dengan istiadat pagi jam 7.30 pagi. Slot pertama selepas sarapan adalah perkongsian pengalaman oleh Saudara Mohd Shaqim Mat Rabi, salah seorang penerima SWA tentang projek yang telah dijalankan. Sepanjang sesi perkongsian, para peserta menunjukkan minat dalam projek yang beliau jalankan dengan bertanyakan pelbagai soalan yang berkaitan projek tersebut. Projek yang dijalankan ialah tanaman hydroponic bersama aquaculture. Pada sebelah petang, aktiviti yang memerlukan semangat kerjasama dan pemikiran yang kreatif dan kritis telah dijalankan. Aktiviti tersebut bukan sahaja membantu saya dalam memupuk semangat kerjasama di antara ahli pasukan malah semangat tidak berputus asa dalam melakukan apa sahaja. Malamnya, setiap peserta diagihkan mengikut negeri dan berbincang mengenai Pelan Tindakan dan Aku janji Mop bagi setiap kumpulan negeri dan daerah masing-masing. Selesai majlis perasmian pada keesokan hari jam 12.30 para peserta dijamukan dengan makanan tengah hari yang sungguh enak iaitu Nasi Minyak. Semoga selepas sahaja daripada kursus ini ahli scout.org akan bertambah ramai dan melahirkan insan-insan yang cintakan keamanan.
Started Ended
Number of participants
65
Service hours
32
Location
Malaysia
Topics
Personal safety
Youth Programme
Legacy BWF
SDGS

Share via

Share