Messengers of Peace Local Coordinators Training KLM
Pada 21 November 2018, seramai 36 orang guru pelatih yang belajar di Institut Pendidikan Guru yang berbeza-beza telah berkumpul di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa untuk menyertai kursus Messengers of Peace Local Coordinators Training Kumpulan Latihan Malaysia. Tujuan kursus pada hari ini adalah untuk mengenali MoP, mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran mengenai MoP dan mengenalpasti skop bagi mengukuhkan hubungan Pengakap dan masyarakat. Tambahan pula, kursus ini diadakan adalah untuk mengenalpasti peranan dan tanggungjawab koordinator MoP dan menyediakan pelan tindakan MoP bagi jangka masa 2 tahun.
Apabila kami tiba di IPGKBA, kami dimulakan dengan aktiviti memperkenalkan diri. Dalam aktiviti ini, kami dapat mengenal antara satu sama lain dan mengeratkan hubungan silaturahim. Seterusnya, kami juga bermain permainan kecil seperti ‘Angin IPBA akan bertiup’ dan ‘Duduk Kiri Kanan’. Melalui aktiviti permainan ini, dapatlah mewujudkan suasana yang menyeronokkan dan menghindari perasaan segan antara satu sama lain.
Pada pukul 4.30p.m, kursus ini diketuai oleh En. Amir Hamzah bin Aman. Beliau telah memperkenalkan Messengers of Peace kepada kami. Melalui penerangan beliau, kami telah memahami pelbagai maksud mengenai Peace. Beliau juga menerangkan bahagian-bahagian yang terdapat pada logo MoP dan memberi contoh-contoh melaksanakan projek MoP agar kami mempunyai gambaran yang jelas mengenai projek MoP. Pada waktu 8.30 malam, En. Amir Hamzah telah menunjukkan cara mendaftarkan diri pada laman web WOSM. Beliau telah menerangkan cara menulis laporan projek yang mengandungi konsep 5 WIVES dan 1 HUSBAND, iaitu What, Who, Where, When, Why dan How. Pada pukul 10.30 malam, sesi penerangan pun telah tamat.