Bukit Putus di udara
Bertempat di Kem Pengakap Negeri Sembilan, Bukit Putus, telah berlangsung Jamboree On The Air kali ke 60 anjuran PPM Negeri Sembilan dengan kerjasama Kelab Radio Amator Negeri Sembilan (NESRAC). Persiapan telah dibuat sejak awal lagi termasuk membersihkan tapak kem bagi memberi keselesaan kepada peserta.
Seramai hampir 1200 orang peserta telah hadir dan berpeluang menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan radio amator. Antaranya berkomunikasi dengan stesen JOTA luar negara melalui frekuensi HF, dalam negara melalui frekuensi VHF, point-to-point simplex menggunakan UHF, morse code, phonetics, semaphore dan pameran radio amator.
Bagi memastikan semua peserta berpeluang menjalankan aktiviti, mereka dipecahkan mengikut kumpulan dan bergerak ke base yang telah ditetapkan. Peserta perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 5 dari 7 tandatangan pegawai base bagi melayakkan mereka mendapat sijil penyertaan dan lencana JOTA.
Di stesen HF dan VHF, peserta diberi penerangan dan tunjuk-ajar tentang cara berkomunikasi di udara. Bagi memastikan mereka tidak kaku atau gagap, peserta diberi kebebasan untuk bercakap apa sahaja sambil dipantau oleh pegawai bertugas. Di stesen semaphore, peserta diberi penerangan dan tunjuk-ajar tentang isyarat bendera semaphore. Mereka kemudiannya perlu membuat isyarat berkenaan berdasarkan perkataan yang diberikan oleh pegawai bertugas.
Begitu juga di stesen phonetics dan kod morse, peserta diberi penerangan dan perlu membuat aktiviti yang berkaitan seperti mengeja nama menggunakan phonetics dan menghantar pesanan kod morse.
Semoga berjumpa lagi di udara dalam WOSM Jamboree On The Air kali ke 61 tahun 2018.